Tuesday 12 March 2013

Enam Syarikat Telekomunikasi Disaman SKMM RM 920,000



CYBERJAYA : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan sejumlah RM920,000-00 saman kepada Celcom Axiata Berhad, Merchantrade Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Tune Talk Sdn Bhd, Maxis Mobile Services Sdn Bhd dan Maxis Broadband Sdn Bhd kerana melanggar syarat lesen mereka, khususnya kerana gagal memastikan maklumat tepat pengguna akaun prabayar telah didaftarkan dengan betul.

Celcom Axiata Berhad menerima saman terbanyak, iaitu lapan, dan kesemuanya berjumlah RM400,000-00.

Merchantrade Sdn Bhd dikenakan tujuh saman berjumlah RM240,000-00, manakala U Mobile telah dikenakan empat saman berjumlah RM100,000-00.

Tiga saman dikeluarkan terhadap Maxis Mobile Services Sdn Bhd berjumlah RM150,000-00.

Manakala Maxis Broadband Sdn Bhd dan Tune Talk Sdn Bhd masing-masing dikenakan saman sebanyak RM10,000-00.

Pembekal perkhidmatan atau wakil-wakil mereka dikehendaki untuk mengesahkan maklumat yang diberikan oleh bakal pelanggan seperti yang terkandung dalam MyKad atau lain-lain dokumen pengenalan rasmi, seperti pasport.

Pendaftaran ini adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan maklumat pengguna akhir (end user) yang juga merupakan pelanggaran syarat lesen sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kami melihat kegagalan untuk memastikan pendaftaran betul maklumat pengguna yang tepat sebagai kesalahan yang serius.

Kami telah menerima pelbagai aduan dan maklumat tentang kes-kes dimana nombor MyKad atau IC serta nama-nama individu telah digunakan walhal individu berkenaan tidak pernah memohon perkhidmatan tersebut daripada telco yang dimaksudkan," kata Dato' Mohamed Sharil Tarmizi, Pengerusi SKMM.


SUMBER

No comments: